Monday, December 29, 2014

Kaidah Pembelajaran Penemuan

Oleh : Khairul Arifin
Apakah yang dimaksudkan oleh kaedah pembelajaran penemuan?
Menurut Bruner, pembelajaran penemuan tidak terhad pada benda atau objek yang belum diketahui oleh manusia, tetapi meliputi sebarang aktiviti yang menggunakan otak dan usaha sendiri untuk mendapatkan suatu ilmu. Sungguhpun ilmu pengetahuan yang diperoleh bukan merupakan suatu yang baru dan belum diketahui, asalkan ia diperoleh melalui daya usaha pelajar sendiri boleh dikategorikan sebagai satu “penemuan”.
Pendekatan pembelajaran penemuan tidak mempunyai model pengajaran yang tertentu tetapi dilaksanakan mengikut kesesuaian subjek dan pelajar yang terlibat. Akan tetapi, langkah langkah umum yang digariskan oleh Bruner termasuk:
Pembentukan masalah yang dapat menarik minat pelajar, Membangkitkan minat pelajar terhadap ketidakpastian masalah, Menyatakan pelbagai hipotesis yang mungkin, Membantu pelajar mencari dan mengorganisasikan maklumat, Memandu pelajar menilai dan membuat kesimpulan, Memandu pelajar menganalisis kesimpulan yang diperoleh untuk menyelesaikan masalah.

Dalam pengajaran penemuan, guru bertindak sebagai pereka bentuk, pemudacara dan pembekal bahan serta menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif untuk menemui teori atau kesimpulan tertentu. Guru tidak membekalkan jawapan sebaliknya memberi peluang kepada pelajar memikir dan ‘menemui’ ilmu sendiri. Menurut beliau, penemuan taakulan induktif merupakan kaedah terbaik untuk memperoleh pengetahuan berbentuk hukum dan konsep (terutamamya dalam mata pelajaran sains) untuk meningkatkan prestasi dalam ingatan jangka panjang dan penguasaan dalam menyelesaikan masalah.

0 komentar:

Post a Comment